KANGAR: Polis Perlis meningkatkan pemantauan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand dalam memastikan suspek kes tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 tidak bolos ke negara jiran.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata pihaknya sudah pun respons terhadap arahan Bukit Aman dalam usaha mengesan suspek.
“Perkara ini sudah pun berada dalam perhatian kita (Polis Perlis) dan kita sudah pun respons dengan arahan Bukit Aman berhubung kes berkenaan.
“Setakat ini, kita sudah mengkordinasikan elemen milik kita di lapangan untuk pemantauan terutama di sempadan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad berkata dalam melancarkan operasi mengesan suspek, pihaknya turut menambahkan keanggotaan kawalan terutama di kawasan yang sering menjadi ‘laluan tikus’ untuk bolos ke negara jiran.
“Setakat ini, tiada individu yang mencurigakan dikesan di negeri ini namun kawalan sempadan masih tetap dilaksanakan seperti biasa.
“Kita turut menambahkan elemen kawalan termasuk risikan kita di sempadan bagi memastikan suspek tidak terlepas ke negara jiran,” katanya.
Difahamkan, risikan polis mendapati suspek yang dikenal pasti sebagai Hafizul Zawari, 38, dipercayai melarikan diri ke utara tanah air.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.