KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan sebanyak lima laporan polis diterima setakat ini berhubung kes penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan yang dikendalikan seorang pempengaruh.
Jelasnya ketika ini, PDRM sedang melakukan siasatan bagi mengumpul keterangan daripada mangsa-mangsa kes itu.
“Saya mengesahkan lima laporan polis telah diterima berkaitan agensi syarikat pelancongan ini iaitu tiga di Kuala Lumpur dan dua di Selangor dan laporan ini akan disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
“Buat masa sekarang itu sahaja dan perkara ini dalam siasatan kita,”jelasnya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Tambah Ramli sekiranya perlu, PDRM akan mendapatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Korea bagi membantu siasatan.
“Kita akan dapatkan kerjasama rakan kita polis daripada Korea Selatan sekiranya berlaku elemen penipuan berlaku di Korea Selatan dan juga di sini.
“Saya difahamkan mungkin ada kemungkinan joint venture dengan syarikat di sana perkara ini akan kita perhalusi menerusi siasatan kita nanti,” katanya lagi.
Beliau turut meminta orang ramai yang tertipu dengan pakej pelancongan terbabit untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Kita sangat mengalakkan supaya laporan dibuat oleh mangsa-mangsa yang merasakan mereka telah ditipu oleh pakej pelancongan ini dan untuk siasatan pihak polis dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini tular di media sosial video seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan seorang pempengaruh.
Difahamkan setiap mangsa dikenakan caj kira-kira RM4,000 seorang bagi pakej berkenaan.
Dalam perkembangan sama, pempengaruh terbabit telah memohon maaf dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial media miliknya.
Dalam kenyataan itu, beliau turut memberi jaminan akan menyelesikan bayaran kepada mangsa-mangsa sebelum atau pada 1 Februari tahun hadapan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.