comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis Terengganu rampas 3,400 karton rokok bernilai RM400,000 yang ditinggalkan di laluan tepi pantai

KUALA TERENGGANU: Polis merampas 3,400 karton rokok seludup pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM400,000 semasa menjalankan ‘Op Kontraban’ di laluan pantai berhampiran sebuah sekolah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata rokok yang diletakkan di dalam 68 kotak besar itu ditemukan sepasukan anggota Cawangan Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, ditinggalkan di tepi jalan.

Katanya, pasukan berkenaan ketika itu sedang menjalankan ‘Op Kontraban’ di sekitar laluan pantai di belakang sekolah berkenaan, kira-kira jam 2 pagi.

“Apabila sampai di kawasan itu, pasukan operasi melihat sejumlah kotak besar di atas jalan. Pemerhatian dibuat dari jarak 50 meter selama lebih kurang dua jam dan tiada orang yang datang mengambil kotak terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rohaimi berkata, polis percaya sindiket terbabit menggunakan khidmat tonto untuk memerhati pergerakan pasukan operasi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, iaitu kesalahan memiliki rokok seludup yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini