comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tembak mati 2 warga Vietnam terlibat kes pecah kilang

NIBONG TEBAL: Dua lelaki warga Vietnam yang terlibat dalam kegiatan pecah masuk kilang dan pejabat di Pulau Pinang serta Kedah, maut ditembak polis di Jalan Bukit Panchor di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang menjalankan rondaan di kawasan kilang di situ sebelum terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis cuba menghampiri kereta itu sebelum mendapati dua lelaki keluar dari sebuah kilang di situ. Polis mengarahkan mereka berhenti untuk diperiksa, kedua-duanya yang bersenjatakan parang telah bertindak menyerang polis sebelum pasukan kami melepaskan empat das tembakan bagi mempertahankan diri.

Foto: NSTP

“Kedua-dua lelaki itu disahkan mati akibat tembakan di tempat kejadian dan pemeriksaan polis telah menjumpai dua parang serta pelbagai peralatan disyaki digunakan dalam kegiatan pecah rumah, kilang dan pejabat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini hari ini.

Beliau memaklumkan pemeriksaan terhadap dua lelaki itu mendapati mereka merupakan warga Vietnam berusia 38 dan 39 tahun yang memasuki negara ini sebagai pelancong.

Hamzah berkata pihaknya percaya susulan kejadian itu, enam kes pecah premis di Pulau Pinang dan lima kes di Kedah melibatkan kerugian keseluruhan RM317,700 berjaya diselesaikan.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket itu dipercayai terdiri daripada warga Vietnam.

Foto: NSTP

“Berdasarkan siasatan, polis mendapati geng itu masuk dan keluar dari negara ini sejak 2017 bagi menjalankan kegiatan jenayah dan modus operandi mereka ialah memecah masuk kilang atau pejabat yang dipercayai menyimpan peti besi mengandungi wang tunai yang banyak.

“Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada terdapat kerjasama atau bantuan orang dalam di kilang atau pejabat yang pernah geng itu pecah masuk kerana mereka mempunyai maklumat berkaitan jumlah wang di situ, kita percaya mereka pakar dalam hal tersebut,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu masing-masing mempunyai dua dan enam rekod lampau berkaitan jenayah dan mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini