comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis telah kenal pasti suspek tikam 2 wanita guna pisau rambo

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti lelaki yang menyerang dua wanita menggunakan pisau rambo di kawasan surau Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pada masa ini pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya, sedang berusaha mengesan suspek terbabit.

“Pihak polis memperoleh satu rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berhampiran tempat kejadian yang menunjukkan kereta dinaiki suspek meninggalkan kawasan surau selepas kejadian berlaku.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, pasukan operasi sedang berusaha menangkap suspek terbabit. Setakat ini, kita masih belum mengenal pasti motif serangan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 1.45 tengah hari semalam, suspek seorang lelaki dipercayai warga tempatan bersenjatakan pisau rambo menikam seorang jurujual wanita berusia 26 tahun dan guru besar berusia 52 tahun dalam kawasan SRA di Kelana Jaya.

Berdasarkan siasatan awal polis, kedua-dua mangsa dilaporkan tidak mengenali suspek.

Shahrulnizam berkata, pihak polis sudah merakam percakapan tujuh saksi bagi membantu siasatan, sekali gus mengenal pasti suspek terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, seorang daripada mangsa iaitu guru besar sekolah dibenarkan keluar hospital dan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, untuk membantu siasatan, manakala seorang lagi mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini