Tumpuan :
Jenayah

Polis tangkap 2 lelaki tidak sampai 6 jam selepas pecah rumah

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh menunjukkan barang rampasan kes pecah rumah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, hari ini. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Dua lelaki termasuk seorang yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau ditahan polis, kurang enam jam selepas melakukan pecah rumah, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dua suspek tempatan berusia 22 dan 27 tahun itu ditahan di kawasan Larkin di sini, pada jam 11.30 pagi.

Menurutnya, ia hampir enam jam selepas kejadian pecah rumah di Taman Skudai Baru di sini, berlaku iaitu pada jam 5.45 pagi.

“Seorang lelaki berusia 28 tahun membuat laporan polis pada jam 10.33 pagi selepas mendakwa rumahnya dimasuki pencuri. Mangsa yang berada di rumah tidak menyedari rumahnya dipecah masuk.

“Apabila menyedarinya, mangsa mendapati komputer riba, telefon bimbit, gelang emas dan dua topi keledar yang dianggarkan bernilai RM5,000 hilang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini, hari ini.

Balveer Singh berkata, siasatan awal polis mendapati pintu gril rumah mangsa dirosakkan dan pintu hadapan rumah terbuka.

Katanya, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan seorang lelaki berpakaian baju warna oren, bertopeng dan bersarung tangan menceroboh serta menggeledah rumah mangsa.

“Dengan tangkapan kedua-dua suspek itu, kita berjaya menyelesaikan kes pecah rumah itu hanya selepas enam jam ia berlaku.

“Kita juga percaya, dengan penangkapan kedua-dua suspek, kita dapat menyelesaikan empat kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan sejak awal bulan ini di kawasan Johor Bahru utara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, modus operandi digunakan suspek adalah dengan merosakkan kunci dan pagar utama rumah menggunakan spanar yang diambil dalam kawasan halaman rumah mangsa.

“Mereka menyasarkan rumah yang tidak berkunci, rumah yang ditinggalkan dan juga dipercayai mereka yang bekerja di Singapura,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine, manakala semakan suspek berusia 22 tahun itu mendapati dia mempunyai 20 rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah.

“Kedua-dua suspek kini masih dalam tahanan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini