TAMPIN: Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki menjual 33 botol cecair vape mengandungi dadah jenis ketamin bernilai RM6,800 dalam dua serbuan di sebuah premis dan rumah di FELDA Pasir Besar, Gemas, di sini.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata serbuan pertama dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin di sebuah premis menjual rokok elektronik (e-cigarate) jam 8.23 malam, 10 Januari lalu.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui lima botol kecil berwarna hitam disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin dengan anggaran isi padu 50 mililiter (ml).
“Serbuan kedua kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama di sebuah rumah di FELDA Pasir Besar turut menemui 28 botol lagi cecair sama dengan nilai rampasan keseluruhan RM6,800,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuwal berkata, hasil serbuan polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun yang juga pekerja di kedai itu kerana disyaki memiliki cecair mengandungi dadah berkenaan.
“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun iaitu pemilik kedai vape dalam serbuan di rumah berkenaan.
“Ketiga-tiga suspek, termasuk seorang penjawat awam direman selama empat hari bermula Rabu lalu dan dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.