Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan suspek serang warga Singapura, 2 lagi diburu

KLUANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit menyerang seorang lelaki warga Singapura menggunakan parang di Kampung Tengah, di sini pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berumur 37 tahun itu ditahan di lokasi kejadian kira-kira jam 6.10 pagi.

“Polis telah menerima laporan seorang lelaki dicederakan menggunakan parang pada jam 5.50 pagi. Sepasukan anggota dari Balai Polis Kluang dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menahan seorang suspek.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.

Menurut ACP Bahrin, dua lagi rakan suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 3 Februari bagi membantu siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi mana-mana Balai Polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan insiden kejadian mangsa diserang menggunakan kayu serta cermin kereta dipercayai milik mangsa dipecahkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini