IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas bersama lebih 10 kilogram dadah dalam serbuan di dua rumah di Jalan Medan Ipoh, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, nilai keseluruhan dadah dianggarkan RM538,646 .
Serbuan pertama katanya dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, pada jam 7.45 malam.
Seorang lelaki warga tempatan, 39, bersama isterinya, warga China, 37, ditahan bersama pelbagai jenis dadah seberat 35.5 gram dadah.
Susulan itu, pada jam 10.25 malam hari sama, serbuan dilakukan di rumah kedua di kawasan sama yang dipercayai digunakan sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah.
Katanya hasil serbuan menemui dadah dipercayai ketamin seberat 757 gram, 2,756 pil esctacy, 15,250 pil disyaki pil eramin five, serbuk ecstacy (1,020 gram) serta 141 paket minuman disyaki serbuk ecstacy (3,427) gram.
”Semakan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kedua-dua suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal 2021 yang lalu. Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri Perak. Dianggarkan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 40,000 penagih dadah”, katanya.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif didapati dadah ketamin.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 3 Julai depan.
Kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis turut menyita sebuah kenderaan dan wang tunai RM1,200 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.