comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan lima sami palsu warga Thailand

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Tan Cheng San menunjukkan enam suspek yang ditahan menyamar sami.

BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan sindiket meminta sedekah yang dijalankan oleh sami palsu dari Thailand selepas menahan lima warga asing termasuk seorang warga emas dalam serbuan di dua pasar awam di sini, pada 8 dan 10 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, pihak polis menjalankan serbuan di Pasar Awam Bukit Mertajam di sini pada 9.30 pagi sebelum menahan dua lelaki dan dua wanita warga Thailand di situ.

“Pihak polis telah merampas empat bekas mangkuk dan wang tunai RM40 daripada mereka yang menyamar sebagai sami untuk mengutip sedekah manakala serbuan kedua pada 7.15 pagi pada Jumaat di Pasar Awam Taman Chai Leng, Perai di sini, kami menahan seorang lagi lelaki bersama duit RM158 yang turut menjalankan kegiatan sama.

“Siasatan awal mendapati semua mereka berusia 41 hingga 64 tahun itu masuk ke negara ini menerusi pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Kedah sejak Februari dan awal bulan ini dengan telah beberapa kali ke sini untuk menjalankan kegiatan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati kegiatan mereka itu didalangi lelaki warga tempatan yang berperanan menyediakan rumah dan menghantar sami palsu tersebut ke beberapa lokasi terutama pasar awam sekitar daerah ini untuk meminta sedekah serta usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Penahanan mereka juga mendapat kerjasama daripada Konsulat Thailand yang berperanan untuk memastikan sama ada individu tersebut adalah sami yang sebenar atau palsu, berdasarkan maklumat konsulat juga setiap sami yang sebenar akan memakai pakaian sami dalam pasport mereka,” katanya.

Tan berkata sami palsu itu dipercayai mampu mengutip sedekah sehingga RM500 setiap hari dalam tempoh antara empat dan lima jam dan tindakan mereka itu telah menyebabkan sami yang sebenar gagal mendapatkan sumbangan daripada orang ramai. – BERNAMA

Loading...
Terkini