Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan lelaki tular dera kucing

Foto tular

KUALA LUMPUR: Individu yang disyaki mendera kucing dalam satu video tular di ibu negara baru-baru ini ditahan di rumahnya, di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan video berdurasi sembilan saat yang dimuat naik seorang pengguna Tik Tok kira-kira 5.26 petang kelmarin selepas ianya tular.

“Bertindak di atas maklumat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.

“Tangkapan dilakukan kira-kira 6.10 petang, semalam di kediaman suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa. – FOTO: NSTP

Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Katanya, permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dipohon ke atas suspek terbabit hari ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

“Orang ramai turut boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini