JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang memecah pagar dan menceroboh sebuah rumah di Taman Nesa, Skudai untuk mencuri set penghawa dingin, ditahan polis sehari selepas kejadian.
Kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 20 saat yang tular di media sosial memaparkan, seorang lelaki dilihat memasuki premis berkenaan yang ketika itu ditinggalkan dengan pagar berkunci.
Lelaki yang memakai topi itu beberapa kali dilihat menghentak pagar sehingga terbuka, sebelum mengambil unit dalam penghawa dingin, kemudian kembali lagi untuk mengambil unit di luar kediaman pula dan kembali semula menutup pagar rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang wanita warga asing berusia 40 tahun pada jam 12.18 tengah hari kelmarin berhubung kejadian pecah rumah di kediamannya.
“Hasil siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa dan suaminya keluar bekerja.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Johor Bahru Utara menahan suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun pada 2.30 petang semalam.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah. Bagaimanapun, hasil ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 31 Disember untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.