comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan lelaki pecah cermin kaunter forensik Hospital Sungai Buloh 

FOTO: PDRM

SUNGAI BULOH: Berang tidak dapat melihat jenazah ahli keluarga menyebabkan seorang lelaki bertindak luar kawalan memecahkan cermin kaunter Unit Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, kelmarin.

Susulan kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, lelaki berusia 43 tahun yang juga pesakit mental ditahan polis di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Mohammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak hospital memaklumkan kejadian amuk dengan memecahkan cermin menggunakan topi keledar.

“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota ke lokasi dan menahan lelaki terbabit serta merampas topi keledar dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin berkenaan.

“Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek berasa marah dan tertekan kerana tidak dapat melihat jenazah ahli keluarganya yang meninggal dunia.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai sejarah pesakit mental dan beberapa kali tidak hadir janji temu dengan doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kerosakan kepada harta benda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini