comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan lelaki curi kabel telekomunikasi

CHUKAI: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan aktiviti mencuri kabel syarikat telekomunikasi di sekitar daerah Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata suspek yang berusia 20-an itu ditahan kira-kira 7 pagi di Felda Panching di Kuantan, Pahang.

Hanyan berkata anggota peronda yang menjalankan pemantauan di sekitar kawasan Rantau Petronas dekat Kemasik terserempak dengan empat suspek yang sedang menjalankan aktiviti mencuri kabel di kawasan itu kira-kira 5 pagi.

Beliau berkata suspek yang menyedari kehadiran polis sempat melarikan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh 120 kilometer sebelum seorang daripadanya ditahan ketika bersembunyi atas pokok.

“Polis terpaksa mengejar suspek dari Kemasik melalui Bandar Chukai, Cheneh, Jabor dan berakhir di Felda Pancing, Kuantan. Kita turut mendapat bantuan dari Unit Kereta Peronda (MPV) Kuantan.

“Seorang suspek yang berasal dari Felda Panching ditahan, namun tiga lagi rakannya berjaya melarikan diri. Gerakan memburu suspek masih giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, polis turut merampas kenderaan pacuan empat roda dan beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti curi kabel.

Polis turut menemui dadah jenis Syabu dalam kenderaan itu yang dipercayai untuk kegunaan individu.

Beliau berkata pihaknya akan menyiasat kemungkinan sama ada penahanan berkenaan mempunyai kaitan dengan tangkapan kes sama pada Rabu lepas.

“Siasatan awal kita terhadap kes Rabu lepas mendapati tiga suspek yang ditahan aktif menjalankan aktiviti mencuri kabel di sekitar Kuantan, Pahang; Terengganu; dan Kota Bharu, Kelantan.

“Oleh itu kita akan menjalankan siasatan lanjut daripada semua aspek termasuk sama ada terdapat penglibatan sindiket dalam kegiatan ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini