KUALA LUMPUR: Polis menahan lelaki yang melakukan ugutan bunuh dan merosakkan restoran mangsa di Jalan Kasipillay, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pada jam 7.50 pagi semalam, pemilik restoran menerima panggilan telefon daripada lelaki dikenalinya memaki hamun dengan kata-kata kesat.
Menurutnya, suspek turut mengugut ingin datang ke restoran mangsa dan ingin membunuhnya serta merosakkan premisnya.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek berusia 40 tahun ditahan jam 12.15 malam tadi dan setakat ini tiada laporan pemerasan diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.