Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki mendera anak mereka berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Kajang pada jam 1.11 pagi selepas kanak-kanak itu dibawa ibu bapanya ke wad kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di perut akibat objek tumpul.
“Selain itu, terdapat banyak tanda kesan dera lama dan baru pada fizikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, kedua-dua ibu bapa mangsa ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Kajang hari ini,” tambahnya.