comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Polis tahan dua pasangan suami isteri warga Thailand menyamar pelancong, edar ganja

 

SUNGAI BULOH: Helah dua pasangan suami isteri warga Thailand sejak tahun lalu yang masuk sebagai pelancong dengan menaiki kereta sebelum mengedar ganja, akhirnya terbongkar selepas polis menahan enam orang termasuk dua lelaki tempatan, kelmarin.

Penahanan dilakukan di kawasan Subang Jaya, Ampang Jaya dan Balakong, Kajang.

Pasangan suami isteri berkenaan turut mengupah ‘transporter’ bagi membawa masuk dadah itu dari sempadan, sebelum dijual di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati, dua pasangan suami isteri berusia 26 hingga 32 tahun itu masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong dan berpura-pura ingin melancong dengan menyewa inap desa.

Menurutnya, semakan mendapati mereka sudah tiga kali masuk ke negara ini, di mana dua kali pada tahun lepas dan sekali pada tahun ini.

“Kegiatan mereka terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada jam 2 petang kelmarin, menahan sebuah kereta Ford Ranger di tepi jalan di Subang Jaya dan menahan dua lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan menemui 40 ketulan mampat disyaki dadah ganja dengan anggaran berat 40.1 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Hussein berkata, hasil soal siasat dijalankan, polis kemudian ke sebuah rumah di Ampang Jaya dan merampas 50 ketulan mampat ganja seberat 50.3 kilogram.

“Susulan itu, polis berjaya menahan dua lelaki dan dua wanita warga Thailand yang dipercayai dalang pengedaran dadah di sebuah rumah di Balakong, Kajang serta merampas cecair ketum sebanyak 1,500 milimeter.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati, hanya suspek pertama dan kedua mempunyai rekod dadah dan jenayah.

“Saringan awal air kencing mendapati hanya dua suspek lelaki warga asing positif amphetamine dan methamphetamine.

Nilai rampasan dadah bagi berjumlah RM281,000 dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Katanya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana pihak polis turut menyita sebuah kereta Toyoya Alphard bernilai RM120,000 dan enam barangan kemas bernilai RM33,000.

“Dua lelaki yang ditahan itu juga bekerja sebagai transporter di mana pasangan suami isteri terbabit yang akan mencari pembeli untuk menjual dadah itu.

“Mereka direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini