Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM3.22 juta

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan hasil rampasan dadah di tiga kediaman di sekitar bandar raya ini.

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM3.22 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Selasa lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua rakan berusia 34 dan 38 tahun yang disyaki bekerja sebagai penjaga stor itu, ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, antara 3.15 petang dan 5 petang.

“Hasil serbuan polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu 119,750 biji pil erimin 5, serbuk ekstasi seberat 5,360 gram, ketamin (903 gram), pil ekstasi (865 gram) dan ‘magic mushroom’ (270 gram) yang dianggarkan boleh digunakan seramai 145,928 penagih dadah,” katanya pada sidang media di IPK Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket yang mula aktif sejak Januari lepas itu adalah dengan menjadikan rumah berpagar dan berpengawal serta kereta sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Kamarul Zaman berkata, turut disita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM210,450 melibatkan wang tunai, barangan kemas dan empat kenderaan pelbagai jenis.

Menurutnya, saringan awal ke atas kedua-dua individu terbabit mendapati seorang daripadanya positif dadah jenis benzo, manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Dua lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sejak 1 Januari hingga Selasa lepas, JSJN Johor telah menahan 3,967 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 849.22 kilogram dadah bernilai RM9.59 juta serta menyita harta bernilai RM3.89 juta. – BERNAMA

Loading...
Terkini