JOHOR BAHRU: Selepas dikejar sejauh kira-kira enam kilometer hampir 20 minit, akhirnya dua lelaki tempatan berjaya ditahan polis selepas melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
Kejadian kira-kira jam 8.35 malam tadi bermula apabila anggota kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan yang sedang melaksanakan Op Cegah Jenayah di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau di sini, mengesan sebuah Mitsubishi Lancer berwarna merah yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri dan memandu secara melulu serta berbahaya.
“Suspek bergerak melalui laluan Jalan Harmonium, Jalan Badik, Jalan Tebrau hingga ke susur keluar pekan Ulu Tiram.
“Sebanyak lima kereta peronda MPV mengejar suspek sejauh enam kilometer dalam tempoh 20 minit sebelum kita berjaya menangkap suspek di lokasi apabila kenderaan mereka terhenti kerana kesesakan lalu lintas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut Raub, siasat yang dijalankan mendapati pemandu kereta berusia 24 tahun bekerja sebagai buruh mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah, manakala penumpang kereta berusia 28 tahun, yang juga bekerja sebagai buruh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine.
“Kita turut membuat pemeriksaan ke atas nombor chasis kenderaan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, cukai jalan tamat tempoh dan pemandu tiada lesen memandu yang sah,” jelasnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya; Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu serta Seksyen 26(1) akta sama kerana tiada lesen memandu.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 23(1) APJ 1987 kerana tiada cukai jalan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.