KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki kelmarin, bagi membantu siasatan kes ragut seorang penunggang motosikal wanita di Jalan Kelochor, di sini.
Lelaki berusia 31 dan 39 tahun itu ditahan jam 6.30 petang berikutan laporan yang dibuat oleh mangsa yang berusia 54 tahun, pada 16 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata kedua-dua lelaki itu direman empat hari bermula kelmarin sehingga 1 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Beliau berkata, kejadian ragut membabitkan mangsa seorang wanita yang menunggang motosikal, pada jam 10.35 pagi, 16 Februari lalu itu tular di aplikasi WhatsApp dan TikTok, semalam.
“Mangsa mengalami luka kecil pada lengan dan tangan kiri serta mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya, sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian ragut itu turut dirampas.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 58 saat memaparkan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal meragut beg tangan seorang wanita yang diletakkan di dalam raga motosikal. Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh.
Saksi diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Nur Asminda Mohd Apandi di talian 017-2509251 atau 09-7752200 atau balai polis berdekatan. – BERITA HARIAN