comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan 3 pemandu mabuk

Foto: Ihsan PDRM

KUCHING: Tiga lelaki ditahan kerana memandu bawah pengaruh alkohol, dalam sekatan jalan raya di Jalan Tabuan, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, berkata hasil ujian menggunakan alat ‘evidential breath analyzer’ terhadap tiga suspek berusia 36, 51 dan 58 tahun itu mendapati kesemuanya positif alkohol.

Sehubungan itu, beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih lima tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun,” katanya dalam kenyataan mengenai hasil Ops Mabuk, hari ini.

Merbin berkata, sejumlah 111 kenderaan membabitkan 125 individu diperiksa dalam operasi berkenaan yang dijalankan dua pegawai serta 10 anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuching.

Katanya, sebanyak 41 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan sepanjang tempoh operasi itu yang bermula jam 10 malam hingga jam 2 pagi tadi.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai agar tidak memandu dalam keadaan mabuk kerana ia bukan saja membahayakan diri tetapi juga mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Loading...
Terkini