comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan 2 pengedar dadah, rampas 14,000 pil yaba

Foto hiasan

TAIPING: Polis Perak menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas 14,000 pil yaba dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kamunting, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 34 dan 50 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, kira-kira jam 11.10 malam.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap suspek di dalam rumah telah menjumpai sebanyak 14,000 pil yaba dengan anggaran berat 1,425 gram. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM280,000,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek wanita positif dadah jenis methamphetamine.

Semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah.

Sindiket mula bergiat aktif sejak September 2022 dengan dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan dan boleh digunakan 14,000 penagih.

Kedua-dua suspek direman selama 7 hari bermula hari ini hingga 14 Mac depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Menerusi Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta ) 1988, polis turut menyita dua buah kereta yang dianggarkan bernilai RM103,500.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM383,500,” katanya.

Loading...
Terkini