KOTA BHARU: Polis berjaya menahan dua lelaki yang terbabit dalam kes pecah rumah dalam serbuan pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 6.15 petang.
Menurutnya, penahanan itu dilakukan hasil laporan seorang pemilik rumah yang dipecah masuk di Kampung Paya Rambai pada 15 Januari lalu.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis melakukan serbuan dan berjaya menahan dua suspek di dua rumah di sini.
“Turut dirampas ketika serbuan adalah sebuah peti besi dan beberapa barangan berharga milik mangsa.
“Seorang daripada suspek bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal di sini, manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mangsa seorang wanita yang juga pesara kakitangan kerajaan berusia dalam lingkungan 60-an bersama ahli keluarganya meninggalkan rumah untuk pergi ke Sarawak pada 8.30 pagi pada 15 Januari lalu,
“Sebaik pulang mendapati sliding door (pintu gelongsor) dalam keadaan yang sudah diumpil dan apabila masuk ke dalam rumah, mangsa dapati sebuah peti besi miliknya yang mengandungi sejumlah wang tunai mata wang asing, emas dan perak serta beberapa bentuk jam tangan berjenama sudah tiada.
“Nilai kerugian dianggarkan lebih kurang RM1.1 juta,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Rosdi berkata, hasil semakan pihaknya mendapati kedua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap kedua suspek juga didapati positif dadah.
“Kedua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula semalam (kelmarin) sehingga 25 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat belas tahun.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan siasatan kes masih diteruskan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.