comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Polis tahan 2 lelaki disyaki terlibat kes ragut di lebuh raya

Foto tular

SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian cubaan meragut barangan berharga milik seorang wanita di Lebuhraya KESAS semalam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 33 dan 32 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pencuci kereta dan pembantu kedai makan itu ditahan pada jam 1.30 hingga 3 pagi tadi di sekitar Klang susulan laporan yang diterima.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada mangsa berumur 58 tahun pada jam 8.35 pagi semalam yang mendakwa diragut semasa berhenti di tepi jalan ekoran kereta yang dinaikinya mengalami kerosakan sekitar jam 7 pagi.

“Menurut mangsa, kedua-dua suspek pada mulanya berhenti bersebelahan keretanya sambil berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu mangsa sebelum secara tiba-tiba seorang daripada suspek bertindak mengambil dompet yang berada di dalam beg silang yang dipegang oleh mangsa.

Mangsa kemudiannya bertindak menangkap tangan suspek yang memboceng motosikal tetapi tindakan tersebut menyebabkan mangsa terseret di atas jalan raya hingga cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata kejadian itu telah dirakam menerusi ’dashcam’ kereta salah seorang pengguna jalan raya yang secara kebetulan melalui laluan tersebut.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihaknya telah berjaya menangkap dua lelaki tersebut dan menemukan semula barangan yang diragut iaitu kad bank serta lesen memandu kepunyaan mangsa termasuk motosikal yang digunakan semasa kejadian.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine setelah ujian saringan air kencing dilakukan.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini