Tumpuan :
Jenayah

Polis siasat unsur khianat dalam kebakaran rumah bersiri di Baling

Kebakaran menyebabkan sebuah rumah musnah, selain kereta dan motosikal milik penduduk di Kampung Bukit Terabak, Kupang. – Foto ihsan Bomba

BALING: Polis tidak menolak kemungkinan kebakaran membabitkan sembilan rumah di daerah ini antara tempoh 24 Disember hingga 2 Januari lalu membabitkan unsur khianat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, memaklumkan siasatan awal bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sebelum ini mendapati kejadian itu diklasifikasikan sebagai kebakaran biasa.

“Kebakaran pada mulanya membabitkan motosikal bermula jam 3.30 pagi sebelum merebak ke rumah penduduk.

“Hasil siasatan, polis melakukan pemeriksaan terhadap 13 individu di sekitar lokasi kebakaran itu, sebelum lapan daripada mereka berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, dalam kalangan lapan suspek, seorang disyaki terbabit dalam kes pecah tabung masjid di Kuala Ketil, lima individu disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah, dan dua lagi dipercayai tokan dadah.

Penduduk setempat sebelum ini mengadakan solat hajat memohon perlindungan susulan rentetan kebakaran, yang turut melibatkan kenderaan serta rumah penduduk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini