comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Polis siasat penemuan tulang manusia berhampiran rangka Bella di Tongkang Pechah

Oleh: Zahir Senapiah

BATU PAHAT: Polis sedang menyiasat penemuan tulang dipercayai rangka manusia berhampiran kawasan mayat ibu tunggal, Allahyarham Mira Sharmila Samsusah atau Bella ditemui mati dibunuh tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, ACP Ismail Dollah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan beberapa ketul tulang di kawasan rumah terbiar Jalan Besar Tongkang Pechah, kira-kira jam 11.30 pagi, pada 28 Februari lalu.

Susulan itu katanya, pasukan forensik ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor telah dipanggil untuk menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 2 ketul tulang dipercayai tulang bahagian peha, 2 ketul tulang bahagian betis dan 2 ketul tulang bahagian keting di lokasi berkenaan” katanya.

Semua tulang terbabit telah dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada 29 Februari untuk ujian dan perbandingan DNA.

Tambah beliau, polis masih menunggu keputusan laporan analisa dari Jabatan Kimia Johor.

Proses analisa kimia terbabit dipercayai mengambil masa selama sebulan.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan itu.

Mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian 07-436330 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Pada 14 Disember 2023, Bella dilaporkan hilang dan rangkanya yang tidak sempurna ditemui di sebuah rumah terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat.

Polis kemudian mengesahkan rangka terbabit adalah milik Bella selapas proses DNA.

Susulan itu teman lelakinya telah didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan membunuh ibu tunggal berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini