SHAH ALAM: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dipercayai meninggal dunia di sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang doktor yang memaklumkan menerima seorang seorang bayi daripada pengasuh sebuah taska pada jam 3.29 petang, 3 Januari lalu.
Katanya, doktor berkenaan melaporkan bayi itu dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir serta kaki, tiada nadi, pernafasan serta gerakan anak mata.
“Pengadu kemudian melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk membawa bayi itu ke hospital.
“Pihak hospital yang kemudian menerima bayi itu sekitar jam 4.35 petang juga melakukan CPR selama lebih 30 minit namun tiada tindak balas dan doktor mengesahkan bayi lelaki itu telah meninggal dunia pada jam 5.05 petang.
“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Akmalrizal berkata pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pekerja dan pengusaha taska berkenaan.
Katanya, siasatan juga mendapati premis berkenaan dalam permohonan untuk mendapatkan lesen.
“Kita akan lengkapkan siasatan dan merujuk perkara ini kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Oleh itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di 03-31872222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.