comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis siasat kamera pengintip di bilik air inap desa

FOTO: Tular

GEORGE TOWN: Polis menyiasat dakwaan seorang wanita menjadi mangsa intip menggunakan kamera tersembunyi dalam bilik air di sebuah inap desa di Jelutong, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menyiasat kes itu di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengadu, seorang wanita berusia 24 tahun telah mendaftar masuk ke inap desa terbabit bersama tiga rakannya pada 5 Februari lalu untuk bercuti.

“Pengadu telah terjumpa sebuah kamera tersembunyi dalam sebuah bekas pewangi tandas di bilik air kira-kira jam 8 malam pada 6 Februari dan terus mengeluarkan kamera tersembunyi berkenaan.

“Pengadu kemudiannya membuat aduan kepada pihak pengurusan inap desa berkenaan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Jelutong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada imej atau video terkandung dalam storan kamera terbabit.

Sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu  sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

Kelmarin, seorang wanita menerusi satu hantaran di laman X menyifatkan percutiannya tidak ubah seperti mimpi ngeri apabila menemui sebuah kamera intip disembunyikan dalam bekas pewangi tandas ketika mandi di sebuah inap desa di Pulau Pinang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini