KUALA LUMPUR: Selepas melakukan risikan sejak seminggu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menyerbu dua bengkel kenderaan yang menjual komponen kereta curi yang beroperasi sejak enam tahun lalu.
Serbuan Op Lejang itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Curi Kenderaan (D4), JSJ Bukit Aman, petang semalam.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Jenayah Curi Kenderaan (D4), Datuk S. Shanmugamoorthy berkata, kedua-dua bengkel yang menjalankan aktiviti membeli kenderaan terpakai sebelum menjual komponen kenderaan sama itu diserbu secara serentak.
“Berdasarkan siasatan awal, premis seluas padang bola sepak di kawasan tepi bukit ini beroperasi sejak 2019 ini memperoleh keuntungan antara RM150,000 hingga RM200,000 dan selama enam tahun suspek lelaki berusia 51 tahun yang juga pemilik bengkel memperoleh RM1.2 juta.
“Jika disemak di Pejabat Tanah, sewaan bagi setiap bulan untuk tanah lokasi bengkel ini adalah RM8,000 dan jika selama enam tahun tunggakan sewa adalah hampir RM576,000.
“Modus operandi suspek adalah membeli kereta terpakai, kereta yang ditinggalkan, kereta total lost (tidak boleh digunakan), kereta tender insurans, kereta yang lari dari syarikat perbankan akibat gagal dibayar,” katanya kepada BH malam tadi.
S Shanmugamoorthy berkata, suspek akan meminta salinan geran kereta dan salinan kad pengenalan daripada mana-mana orang perseorangan atau ejen yang menjual kereta tersebut.
“Kenderaan ini akan dileraikan dan suspek akan menjual kembali komponen kenderaan tersebut kepada kedai-kedai alat ganti atau individu yang berminat.
“Pemilik bengkel yang memiliki 13 pekerja tempatan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki barangan curi, Seksyen 413 kanun yang sama menyembunyikan harta curi, Seksyen 6, Akta Peniaga Secondhand 1946, tidak memiliki lesen perniagaan barangan lusuh,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis juga merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard, dipercayai dicuri serta tiga kenderaan Proton Perdana, Hyundai Elantra dan Kia Spectra, selepas mendapati nombor casis kenderaan itu telah diganggu (tempered) dan dipercayai untuk dijadikan kereta klon.
“Setakat ini semua rampasan dianggar bernilai lebih RM350,000 mengikut kadar semasa.“Berhampiran bengkel sama, polis turut menyerbu satu lagi bengkel memproses kereta dan menahan tiga warga asing yang bekerja tanpa sebarang dokumen diri yang sah,” katanya.Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.