Tumpuan :
Jenayah

Polis serbu 8 pusat panggilan sindiket tipu dalam talian 

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan dalam talian ditumpaskan polis, hasil serbuan terhadap lapan premis yang dijadikan pusat panggilan kegiatan terbabit yang beroperasi di sebuah kondominium mewah dekat Persiaran Stonor di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 14 individu termasuk ketua sindiket itu ditahan dalam serbuan kelmarin.

Katanya, mereka yang ditahan berusia 28 hingga 52 tahun itu terdiri daripada seorang warga Turkiye, tujuh lelaki dan empat wanita warga China dan dua lelaki tempatan.

“Mereka yang ditahan dalam serbuan itu dipercayai berperanan sebagai ketua sindiket, penolong ketua sindiket, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan dan juga pemandu.

“Polis merampas wang tunai berjumlah RM4,891,946; 20,200 Peso Filipina, Baht Thailand 69,310; 68,800 Dollar Hong Kong; 15,000 Cambodia Riel; wang tunai Macanese Pataca (Macau) berjumlah 40.

“Turut dirampas dua kenderaan mewah jenis Toyota Alphard; tiga kunci kawalan jauh; 27 unit telefon bimbit; enam set komputer riba; empat CPU serta empat monitor,” katanya dalam sidang media mingguan JSJK hari ini.

Ramli berkata, selain itu, tujuh pasport China, satu passport Turkiye, enam utas jam tangan mewah, lima beg tangan mewah, lima beg silang pelbagai jenama, satu beg jenama Fendi, satu dompet berjenama, tiga utas rantai, seutas gelang, lapan modem, 11 kad akses rumah, dua kad bank. satu set kunci, sebuah set perjanjian jual beli rumah, 10 anak kunci rumah dan sebuah iPad turut dirampas.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM7 juta.

Katanya, sindiket itu didapati memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sekitar Oktober tahun lalu.

“Setiap ahli sindiket menerima gaji sekitar RM3,000 hingga RM7,000 sebulan. Ketua sindiket dan beberapa pembantunya tidak menerima gaji tetap, tetapi dipercayai menerima keuntungan yang lebih tinggi hasil aktiviti yang dilakukan.

“Mereka dipercayai terbabit dengan aktiviti jenayah yang sama di Filipina dan menggunakan wang keuntungan yang diperoleh untuk membeli aset di Malaysia,” katanya.

Beliau mendedahkan, sindiket itu menggunakan modus operandi permainan video dalam talian untuk menarik mangsa dengan menawarkan hadiah seperti telefon, komputer, barangan mewah seperti barangan berjenama.

“Pertandingan dalam talian menjanjikan pemenang hadiah mengikut kategori seperti istimewa, tempat pertama, kedua, ketiga dan hadiah bertuah. Mangsa yang menjadi sasaran sindiket ini dikesan daripada kalangan warga China.

“Ahli-ahli dalam sindiket ini perlu menyertai aplikasi perbualan dan forum di China kemudian mereka akan mempelawa pemain baharu dari China untuk menyertai platform mereka yang menawarkan hadiah kemenangan yang lebih besar dan mewah.

“Mangsa diminta memuat turun aplikasi yang ditetapkan. Sindiket ini menggunakan perisian ‘remotedesktop’ seperti ToDesk dan Sunflower Remote Control untuk membantu pemain baharu yang menghadapi masalah teknikal berkenaan pemasangan aplikasi permainan yang digunakan.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pembayaran bagi menyertai pertandingan. Mangsa turut dikenakan bayaran tambahan bagi meneruskan permainan. Bagaimanapun, setelah bayaran dibuat, sindiket tidak lagi dapat dihubungi,” katanya.

Premis kondominium bernilai RM16 juta yang diserbu polis dikesan milik seorang daripada suspek warga China yang ditahan.

Susulan tangkapan itu, 12 warga asing yang ditahan direman sehingga 23 Februari ini, manakala dua individu tempatan sedang direman selama dua hari sehingga hari ini untuk siasatan mengikut bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini