Oleh: Zahir Senapiah
SEGAMAT : Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun bagi membantu siasatan dua kes ragut di daerah ini, sejak 1 Mac lalu.
Ketua Polis daerah Segamat, Superitandent Ahmad Zambry Marisah berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di kawasan Palong Timur, Batu Anam, kira-kira jam 10.25 malam semalam.
Ia susulan dua laporan yang dibuat oleh dua wanita yang diragut oleh suspek di dua lokasi berasingan pada 1 Mac lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati modus operandi suspek berpura-pura mendekati mangsa sebelum bertindak meragut telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil serbuan yang dilakukan polis berjaya merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC berwarna hijau, satu helai baju T-shirt berlengan panjang berwarna kelabu, sehelai seluar jeans berwarna biru gelap, sebuah topi kelader berwarna putih, dua telefon bimbit jenama Realme dan Readme milik mangsa dan satu anak kunci.
Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu kes jenayah lampau membabitkan dadah.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati positif Methaphetmine.
Dua kertas siasatan telah dibuka mengikut seksyen 392 kanun kesiksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 14 tahun, denda dan boleh juga dikenakan sebatan.
Susulan tangkapan itu polis percaya dapat menyelesaikan dua kes ragut berkenaan dalam tempoh 48 jam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.