comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Polis Sarawak rampas dadah syabu bernilai RM1.2 juta

 

 

KUCHING: Polis Sarawak merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan di Kuching,

Suspek berusia 37 tahun terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Stutong Baru sekitar jam 1.05 petang, Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, dalam serbuan itu, dadah jenis Syabu seberat 35.4 kilogram ditemui di dalam kenderaan dan kediaman suspek

“Nilai rampasan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,260,300.

“Dadah seberat 35,486 gram yang dirampas ini boleh digunakan seramai 177, 430 orang penangih,” katanya.

Beliau berkata, rampasan dadah terbabit merupakan rampasan kedua tertinggi direkodkan di Sarawak selepas rampasan sama dilakukan di Miri Januari lalu.

Siasatan awal juga mendapati suspek berkenaan dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu sejak pertengahan tahun 2021.

Katanya, suspek mendapat bekalan dadah terbabit yang dikirim oleh sindiket dari semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Ketika menjalankan aktiviti pengedaran ini, suspek akan menghantar dadah ke satu lokasi yang diarahkan sindiket dan pasaran bagi dadah ini adalah sekitar daerah Kuching dan daerah-daerah berdekatan,” katanya.

Mohd Azman berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan Benzo.

Semakan turut mendapati suspek berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Suspek direman tujuh hari sehingga 15 Mac ini bagi membantu siasatan kes.

Kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini