Tumpuan :
Jenayah

Polis sahkan bedah siasat mayat wanita ditemui dalam peti sejuk masih berjalan

Sepasukan anggota polis dari IPD Brickfields melakukan siasatan di lokasi kejadian mayat seorang wanita yang ditemui di dalam peti sejuk beku di Taman OUG. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat ke atas mayat seorang wanita yang ditemui dalam peti sejuk di sebuah rumah di Taman OUG, dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya, masih berjalan di Pusat Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya malam ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata suspek iaitu seorang penganggur berusia 53 tahun pula masih dalam pemerhatian doktor.

“Bedah siasat mengambil masa dan belum selesai,” menurutnya dalam kenyataan ringkas di sini.

Berdasarkan tinjauan, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dilihat memasuki lokasi kejadian iaitu kediaman dua tingkat yang terletak di Taman OUG sekitar jam 4 petang tadi.

Polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 8.45 pagi Selasa selepas suspek membuat panggilan untuk menyerah diri dan perkara terbabit masih disiasat.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan suspek, yang direman tujuh hari hingga 19 November ini, tidak mempunyai rekod jenayah. —BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini