comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis rekod kerugian hampir RM50 juta babit pesara sepanjang 2023, tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan hampir RM50 juta kerugian dialami pesara yang diperdaya sindiket phone scam (penipuan dalam telefon) sepanjang 2023 sehingga Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tempoh itu, secara keseluruhan sejumlah 4,713 kes direkodkan.

Beliau berkata, ia membabitkan 3,027 kes sepanjang tahun lalu dan 1,686 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

“Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan 405 mangsa dalam kalangan pesara yang direkodkan bagi tempoh sama, peratusan mangsa yang dicatatkan hanyalah 8.6 peratus sahaja daripada mangsa sindiket.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. – Foto fail NSTP

“Peratusan ini memberikan gambaran bahawa pesara bukanlah sasaran utama sindiket penipuan phone scam. Hasil siasatan turut mendedahkan, sasaran sindiket phone scam adalah secara rawak tanpa mensasarkan mana-mana golongan yang tertentu.

“Tidak wujud isu bagaimana scammer mendapat maklumat individu yang akan bersara kerana mereka menghubungi sesiapa saja bagi tujuan menipu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, phone scam adalah jenayah penipuan yang berkait dengan penyamaran sebagai pegawai penguat kuasa, mahkamah, bank dan seumpamanya.

“Si pemanggil daripada pihak sindiket akan menakut-nakutkan mangsa dengan cerita-cerita rekaan yang akhirnya mengakibatkan mangsa percaya serta menuruti semua arahan yang diberikan.

“Melihat kepada modus operandi yang digunakan, ilmu pengetahuan dalam kalangan mangsa adalah perlindungan yang terbaik bagi mencegah dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Oleh yang demikian, PDRM melalui JSJK secara berterusan menyalurkan informasi berkenaan jenayah komersil kepada orang ramai melalui kempen, perjumpaan dengan masyarakat dan pemberitahuan melalui pihak media,” katanya.

Ramli menegaskan, tiada jalan yang lebih berkesan untuk mencegah masalah phone scam melainkan orang ramai mengambil cakna dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkait jenayah komersil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini