DUNGUN: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis senapang dan pistol tiruan dalam serbuan ke atas sebuah rumah Kampung Balai Besar, Dungun , Terengganu Khamis lalu.
Suspek berusia 27 tahun, ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10.15 malam.
Dalam serbuan itu pihak polis turut merampas tiga bilah pedang tajam yang berada di dalam rumah suspek.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, dalam serbuan itu pihaknya telah merampas 10 laras senapang, 3 bilah pedang tajam, 3 pucuk pistol tiruan, 5 unit busur, sepuluh batang anak panah dan dua puluh butir peluru tiruan.
Menurutnya, suspek sebelum ini menyediakan perkhidmatan memanah di kawasan kediamannya itu sejak empat tahun lalu.
Curiga dengan perkhidmatan yang dilakukan suspek itu, polis kemudian menyerbu rumah terbabit sebelum menemui dan merampas kesemua senjata terbabit.
Superintendan Maizura berkata hasil siasatan lanjut, suspek mengaku kesemua senjata itu dibeli melalui perkhidmatan secara atas talian.
“Suspek sebenarnya bukan dari mana-mana kumpulan militan dan senjata tiruan yang dirampas lebih kepada aktiviti riadah.
“Supek juga tidak membuat sebarang permohonan dan permit bagi menjalankan aktiviti riadah itu”, katanya.
Superintendan Maizura berkata, suspek turut mendakwa kesemua barangan yang dirampas itu dibeli dengan harga sekitar RM10,000 dan suspek mendakwa kesemua senjata tiruan yang dibeli itu adalah untuk kegunaan peribadinya.
Menurutnya, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya sebelum pertuduhan dilakukan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dikenakan penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.