comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas lebih RM7 juta barangan, selamatkan hidupan liar dalam Operasi Bersepadu Khazanah

Antara hidupan liar yang berjaya diselamatkan selain terbitan/produk yang dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) – Foto ihsan PDRM

PETALING JAYA: Polis merampas barangan bernilai lebih RM7 juta dalam operasi serta serbuan sepanjang tahun 2022 hingga Khamis lalu melibatkan kes perdagangan hidupan liar dan pencerobohan serta pemburuan hidupan liar tanpa permit.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) melalui Wildlife Crime Bureau (WCB) serta pasukan Perisikan dan Siasatan Khas (PSK).

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, WCB/PSK merekodkan 23 kes seluruh negara dengan nilai rampasan hampir RM2.7 juta.

“Antara hidupan liar dan haiwan dilindungi yang berjaya diselamatkan adalah Burung Murai Batu, Blue Monkey, Kucing Batu, Burung Hill Myna, Burung Helang, Musang, Iguana dan Ayam Hutan,”

Antara hidupan liar yang berjaya diselamatkan selain terbitan/produk yang dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) – Foto ihsan PDRM

“Satu kes menarik telah direkodkan pada tahun 2022 dimana WCB/PSK berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang warga Vietnam di Kelantan. Modus operandi sindiket adalah menyeludup haiwan liar melalui laut menggunakan sebuah kapal nelayan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam operasi itu, kapal berkenaan telah dirampas bersama 59 sangkar besi berisi Musang dan satu sangkar berisi Burung Ruak-Ruak.

Manakala bagi tempoh dari 1 Januari hingga 16 Februari lalu, WCB/PSK telah melaksanakan lapan serbuan dan operasi yang melihat 11 individu terdiri daripada 10 warga tempatan dan seorang warganegara asing ditahan.

Jumlah nilai rampasan daripada semua serbuan berkenaan bernilai hampir RM5 juta.

Daripada lapan serbuan itu, terdapat satu operasi yang mendapat penghargaan daripada pihak Global Tiger Forum (GTF) iaitu sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi habitat asal Harimau.

Hasil operasi berkenaan, seorang lelaki warga tempatan diberkas di Selangor selain 69 produk hidupan liar bernilai RM1.2 juta dirampas.

Jelasnya, WCB/PSK terus komited dalam membanteras sindiket perdagangan hidupan liar dan akan meneruskan kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan serta badan NGO bagi menjaga biodiversiti negara dan kelestarian alam.

Operasi yang dijalankan juga turut menyasarkan sindiket membabitkan pelombong haram, pembalakan haram, marin biologi dan ekologi yang memusnahkan Flora dan Fauna.

PDRM turut menyambut baik kerjasama yang dijalankan di bawah operasi bersepadu itu dan sentiasa menyokong penuh hasrat kerajaan dalam memastikan khazanah negara sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang.

Loading...
Terkini