Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas lebih 1,400 senjata tiruan di seluruh negara

Senior Asisten Komisioner Azlin Sadari semasa temu bual eksklusif Buletin Utama dan New Straits Times, hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan sindiket senjata laras tiruan melibatkan lebih 1,400 senjata, yang antaranya menggunakan media sosial untuk menjalankan urusniaga.

Timbalan Pengarah (JKDNKA) Wildlife Crime Bureau (WCB) Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azlin Sadari berkata polis telah merampas 729 senjata tiruan bernilai RM415,000 dalam operasi kedua bermula 2 Januari setakat semalam.

Serbuan besar-besaran itu dijalankan di beberapa lokasi di Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pahang.

Manakala 679 senjata tiruan bernilai RM436,000 telah dirampas dalam operasi pertama di Kelantan dan ibu negara, bulan lalu.

Katanya, suspek juga telah dihadapkan ke mahkamah.

“Mereka menggunakan medium media sosial untuk jualan secara langsung dan jualan secara dalam talian yang dibuat secara berleluasa sehingga mereka merasakan perkara ini adalah sesuatu benda yang dibolehkan,” katanya secara eksklusif kepada Buletin TV3 dan New Straits Times, hari ini.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa walaupun dalam bentuk senjata tiruan, ia tetap berisiko tinggi untuk disalahgunakan dalam aktiviti jenayah.

“Pihak polis sangat percaya (senjata tiruan) yang telah terjual ini sangat banyak. Kami mampu untuk pergi ke setiap rumah untuk membuat tangkapan, tetapi sebelum polis sampai ke alamat pembeli ini, pihak polis menasihatkan sebaiknya mereka memusnahkan,” katanya.

Untuk rekod, 148 kes melibatkan penggunaan senjata palsu dilaporkan pada 2023.

Majoriti senjata tiruan digunakan untuk tujuan merompak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini