comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas dua pistol, 48 peluru serta dadah RM148,000

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas dua pucuk pistol serta 48 peluru dalam dua tangkapan berasingan di Taman Lam Foong, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM148,000 dalam operasi itu.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun di Taman Lam Foong kira-kira jam 6.30 petang.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek telah menjumpai dua pucuk pistol bersama 48 butir anak peluru.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

Ujarnya, hasil tangkapan pertama telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berusia 65 tahun di sebuah rumah di taman kediaman yang sama.

“Polis turut menjumpai 62 peket plastik dadah disyaki ketamin seberat lebih 1.3 kilogram, 40 pembalut aluminium berisi pil eramin 5 seberat 113 gram dan 76 peket plastik berisi ekstasi seberat 989 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini.

Turut disita, kereta jenis Audi A4 dan televisyen yang dianggarkan bernilai RM28,000 dipercayai diperoleh dari aktiviti pengedaran dadah.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Julai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini