comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas dadah RM1.9 juta daripada suspek warga Indonesia

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa (tengah) menunjukkan syabu dan pil ecstasy yang dirampas dari seorang lelaki warga Indonesia pada sidang media di Dewan Alamanda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. – FOTO: NSTP

KUALA SELANGOR: Guna semak berdekatan jeti nelayan dan dibayar upah RM5,000 bagi tujuan aktiviti pengedaran dadah.

Itu modus operandi digunakan seorang lelaki warga Indonesia untuk menyeludup keluar dadah syabu dan pil ecstasy bernilai jutaan ringgit ke pasaran negara jiran itu.

Bagaimanapun, kegiatan suspek dihidu pihak berkuasa sebelum ditahan di sebuah jeti nelayan dekat Sungai Buloh, Jeram, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam serbuan jam 2.30 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bertindak hasil maklumat awam.

“Hasil soal siasat terhadap suspek berusia 21 tahun, menemui tiga beg plastik hitam yang di dalamnya mengandungi 56 bungkusan teh Cina berisi dadah jenis syabu seberat 58.9 kilogram.

“Turut ditemui adalah satu beg plastik berisi 3,500 biji pil ecstasy seberat 1.4 kilogram. Kesemua dadah ini disembunyikan dalam semak berhampiran suspek ditahan,” katanya pada sidang media di Dewan Alamanda, IPD Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Ramli berkata, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM 1.9 juta, sekali gus menjadikan ia rampasan dadah terbesar untuk tahun ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau namun hasil ujian air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Lelaki ini dipercayai masuk ke Malaysia pada 13 September lalu dengan menggunakan pas pelancong.

“Dia kemudian ditawarkan kerja sebagai pembantu kepada seorang lagi lelaki warga Indonesia yang mana polis sedang mengesannya,” katanya.

Ramli berkata, jumlah syabu dan pil ecstasy itu mampu menampung permintaan kira-kira 120,000 penagih dadah.

“Polis percaya semua dadah ini belum sempat dipindahkan ke dalam sebuah bot semasa serbuan dilakukan.

“Dahulunya, kawasan itu merupakan sarang penagih dan ini kali pertama untuk aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Ramli berkata, suspek direman selama enam hari bermula Jumaat lalu hingga 27 September ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Loading...
Terkini