Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas dadah bernilai hampir RM118 juta bersama senjata api

Polis membongkar sindiket pemprosesan dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM118 juta menerusi serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan pemprosesan dadah disyaki didalangi sindiket antarabangsa menerusi beberapa serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur, 16 Januari lalu.

Dalam serbuan itu, sejumlah 832.9 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai hampir RM118 juta dirampas berserta 15 pistol, satu laras sub mesingan dan 900 peluru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan itu, 12 individu membabitkan seorang lelaki warga tempatan, 10 lelaki warga Taiwan dan seorang wanita warga Thailand berusia 20 hingga 50 tahun ditahan.

“Serbuan pertama dilakukan pada jam 2.20 petang di sebuah gudang di Taman Industri Alam Jaya 2, Puncak Alam yang mana lapan lelaki warga Taiwan disyaki berperanan sebagai ‘chemist’ sedang melakukan kerja memproses dadah.

“Pemeriksaan menemukan 306 kg dadah jenis erimin 5, 183.7 kg ekstasi, peralatan memproses dadah dan pelbagai jenis bahan kimia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua dilakukan pada jam 2.30 petang di sebuah premis di Pusat Dagangan Puncak Alam Jaya dengan dua lelaki warga Taiwan dan seorang wanita warga Thailand ditahan.

Katanya, pemeriksaan dalam premis menemui dadah disyaki ketamin seberat 533 gram dan 203 gram erimin 5.

“Susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Desa Park City, Kuala Lumpur yang dijadikan stor penyimpanan hasil pemprosesan dadah yang menemukan 310 kg dadah disyaki ekstasi, 21.1 kg kokain, 5.2 kg syabu, 3.6 kg heroin, 1.8 kg heroin base, 0.5 kg ganja dan 0.4 kg ketamin.

“Polis turut menemui 15 pucuk pistol, satu laras sub mesingan dan 900 butir peluru,” katanya.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, serbuan seterusnya dilakukan pada jam 2.40 petang yang mana seorang lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai kordinator ditahan di sebuah rumah di Taman Balakong Jaya, Seri Kembangan.

Katanya, modus operandi sindiket adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai tempat pemprosesan dadah dan rumah sewa dijadikan stor penyimpanan.

“Polis percaya sindiket ini mula aktif sejak awal Disember tahun lalu dan memproses dadah dalam dan luar negara termasuk Jepun dan Kemboja.

“Sumber dadah kita percaya diperoleh dari negara jiran di utara dan sindiket ini dalam proses untuk mengedarkan dadah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga lelaki warga Taiwan positif dadah manakala semakan rekod menerusi Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) mendapati enam suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau antaranya kes dadah, bunuh, jenayah kekerasan dan penipuan.

“Mengenai senjata api, polis sedang melihat daripada pelbagai sudut sama ada ia dibawa masuk ke negara ini untuk kegunaan peribadi ketika berurus niaga (dadah) atau bagi tujuan lain.

“Polis juga merampas aset dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 17 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini