Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas dadah 63.55 kilogram bernilai RM3 Juta

Jauteh Dikun (tengah) pada sidang media JSJN kontinjen Sabah menangkap dua lelaki dan merampas dadah disyaki jenis Methamphetamine seberat 63.55 kilogram bernilai lebih kurang RM3 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah menggagalkan cubaan pengedaran dadah ke negara jiran selepas merampas 63.55 kilogram dadah dalam satu serbuan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata syabu bernilai kira-kira RM3 juta itu dirampas hasil penahanan dua lelaki tempatan di kawasan tempat letak kereta berhadapan sebuah pasar raya di Penampang, jam 9 malam pada 27 Februari lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dinaiki suspek berusia 30 hingga 33 tahun menemukan empat kotak besar berisi 63.55 kilogram dadah jenis syabu yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga 7 Mac, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, hasil siasatan mendapati suspek berperanan sebagai transporter dan sudah bergiat aktif sejak tahun lalu. Mereka membawa bekalan dadah ke pantai timur Sabah sebelum diseludup ke negara jiran.

“Siasatan juga mendapati bekalan dadah ini dibawa masuk dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier sebelum diangkut suspek menggunakan jalan darat ke pantai timur Sabah,” katanya.

Jauteh menambah, suspek menerima bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap kilogram dadah yang dihantar, dan jumlah bayaran bagi penghantaran dadah yang dirampas ini dianggarkan sebanyak RM30,000.

Menurutnya, JSJN Kontinjen Sabah sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket lain serta kaitannya dengan rampasan sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini