Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas 60,700 liter diesel subsidi, 10 ditahan

Foto ihsan PDRM Johor

JOHOR BAHRU: Sebanyak 60,700 liter minyak diesel bersubsidi dirampas dalam serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ke atas sebuah premis di Masai di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata serbuan menerusi Op Taring Landai pada jam 1.35 petang itu turut menahan 10 lelaki tempatan termasuk tiga warga asing.

Katanya, minyak diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM149,929 manakala nilai lori dan aset yang dirampas RM1.013 juta.

“Premis ini dijadikan tempat penyimpanan dan memproses minyak diesel bersubsidi. Pihak kami masih menyiasat berapa lama sindiket yang disyaki dalam penyeludupan minyak diesel bersubsidi beroperasi,” katanya.

Turut dirampas sembilan buah tangki dengan kapasiti 29,000 dan 6,000 liter, lapan buah pam berserta hos, lima buah lori serta 11 telefon bimbit pelbagai jenama.

Menurut Kumar, suspek berusia lingkungan 29 sehingga 61 tahun adalah pekerja dan pemandu lori.

“Kita masih menyiasat siapa dalang di sebalik kegiatan ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini