Oleh Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Polis Johor memberkas 7 individu termasuk dua beranak dalam empat serbuan berasingan sekitar Johor Bahru, pada 3 dan 4 November lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pelbagai jenis dadah dianggarkan lebih setengah juta ringgit dirampas manakala pelbagai harta bernilai lebih RM36,000 turut disita.
Menurut beliau, kejayaan itu bermula selepas pihaknya menahan dua lelaki ditepi jalan di Bandaraya Johor Bahru, pada 3 November lalu.
“Tindakan susulan telah membawa kepada penahanan 3 lelaki tempatan berumur 17 hingga 47 tahun dan dua wanita tempatan berumur 18 tahun, hasil daripada empat serbuan berasingan yang dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Johor di sini, pagi tadi.
Hasil ujian saringan mendapati 6 individu yang ditahan positif dadah jenis ganja dan meth manakala hasil seorang individu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Modus operandi kumpulan itu dengan menjadikan rumah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan sekitar Johor Bahru yang dipercayai mula aktif sejak bulan Ogos lalu.
Hasil serbuan polis berjaya merampas 216 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM540, 257.50, 13.11 gram ketamin bernilai RM 1,966.50 dan 12.01 gram pel ekstasi bernilai RM450.00.
Polis turut menyita sebuah motosikal dan dua buah kereta dan wang tunai berjumlah RM5,000.00.
Sejak Januari lalu hingga 5 November, Polis Johor telah berjaya menahan 12,467 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM9.75 juta ringgit.