Tumpuan :
Jenayah

Polis rampas 13.3 kg heroin base bernilai RM1.2 juta

Oleh: Ing Boon Seng

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah jenis heroin base seberat 13.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta hasil dua serbuan di Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, seorang suspek warga tempatan turut ditahan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 5.30 petang 23 Disember lalu.

Sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman menahan sebuah kereta dan menangkap seorang lelaki berusia 48 tahun di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Hasil pemeriksaan polis menemui 20 ketulan mampat disyaki heroin base yang dianggarkan seberat 7.4 kilogram.

Susulan tangkapan itu, polis melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Puchong kira-kira jam 9.30 pagi.

Hasilnya 16 lagi ketulan mampat heroin base seberat 5.9 kilogram ditemui.

Kesemua dadah berkenaan boleh digunakan oleh seramai 900,000 orang penagih dadah.

Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau kes dadah.

Suspek direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini