Tumpuan :
Jenayah

Polis Pulau Pinang tahan 6 individu, rampas dadah bernilai RM2.97 juta

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, hari ini. – FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Polis percaya dapat membongkar aktiviti sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM2.97 juta, susulan penahanan enam individu termasuk dua wanita.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mereka yang ditahan di lima lokasi berasingan sekitar ibu negeri dan Butterworth pada 6 Disember lalu itu, berusia antara 26 hingga 42 tahun.

Beliau berkata serbuan membabitkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman antara jam 9 pagi hingga 10 malam.

Katanya, pemeriksaan lanjut berjaya menemui dadah jenis ketamin, erimin 5, ekstasi, Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan daun ganja dalam milikan mereka.

“Menerusi maklumat dan risikan yang diperoleh, sepasukan polis kemudian menyerbu sebuah unit rumah kondominium di Sungai Nibong pada Jumaat lalu dan menemukan sejumlah pil erimin 5, pil ekstasi dan ketamin yang diisi dalam plastik lutsinar.

“Dadah yang dirampas di rumah itu boleh digunakan seramai 56,064 penagih dadah jika ia berjaya dipasarkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Mohd Alwi berkata siasatan awal pihaknya mendapati sindiket berkenaan sudah bergiat aktif sejak awal tahun ini.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua tangkapan negatif daripada pengambilan bahan terlarang dan tiada rekod lampau membabitkan jenayah atau dadah.

“Semua direman selama lima hari sehingga 18 Disember ini bagi membantu siasatan. Keseluruhan dadah yang dirampas menerusi kedua-dua serbuan itu bernilai RM2.97 juta,” katanya.

Tambah Mohd Alwi, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang membolehkan polis turut menyita sebanyak sembilan kenderaan, empat akaun bank, wang tunai dan barang kemas.

Katanya, keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM3.52 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini