KUANTAN: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis jus minuman di dalam cawan dan kotak minuman berjenama di sekitar daerah ini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata kegiatan itu dikesan hasil operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang di dua lokasi di sekitar daerah ini pada jam 12.10 tengah malam.
Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan.
Siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan itu di pusat-pusat hiburan di sekitar Kuantan.
Sejumlah 50 cawan jus minuman berisi bahan campuran disyaki dadah berjumlah 5,273 gram dan 75 kotak jus minuman pelbagai perisa berisi bahan campuran dadah berjumlah 17,900 mililiter dirampas.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM35,300.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 18 April depan untuk membantu siasatan,” kata Yahaya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata hasil ujian saringan awal polis terhadap suspek mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, suspek juga mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.