comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis nyaris dilanggar ketika cuba berkas 4 pencuri larikan kabel TM

ARAU: Dua anggota polis nyaris maut selepas cuba dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki empat lelaki ketika pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan itu di Jalan Arau-Kangar berhampiran Taman Jejawi Permai, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan berkenaan sebelum berjaya menahan kesemua suspek dan merampas kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) yang cuba dilarikan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian berlaku apabila empat anggota polis dari Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sedang melakukan rondaan Op Kabel/Kesan/Op Lejang dalam usaha mencegah jenayah kecurian daripada berlaku di sekitar kawasan perlis.

“SUV jenis Proton X70 berwarna merah dinaiki empat lelaki berada dalam keadaan mencurigakan dipercayai sedang menjalankan kegiatan mencuri kabel di kawasan itu.

“Anggota polis segera memaklumkan Cawangan Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan cuba menahan SUV berkenaan namun pemandu enggan memberikan kerjasama.

“Pemandu SUV itu kemudiannya bertindak memecut laju kenderaan dan melanggar kereta polis sebelum cuba merempuh dua anggota polis yang berada di luar kereta polis,” katanya kepada media di IPD Arau hari ini.

“Polis berjaya menangkap keempat-empat suspek berkenaan dan pemeriksaan mendapati salah seorang suspek hanya mengalami cedera kecil di bahagian kening kiri akibat pergelutan yang berlaku ketika polis cuba menahannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Arau, Ahmad Mohsin Md Rodi menunjukkan peralatan yang digunakan suspek dalam mencuri kabel telekomunikasi milik TM di Jejawi, Arau. FOTO: NSTP

Beliau berkata, suspek berusia 20, 25, 30 dan 34 itu kemudiannya ditahan dan semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod membabitkan dadah dan jenayah.

“Dalam penahanan itu juga, kita turut merampas pelbagai peralatan mencuri seperti pemutar skru, pemotong wayar, pemotong kabel, penukul besi, pembuka lubang kabel, tali ‘strap’ dan gergaji.

“Kita juga turut merampas 150 meter kabel telekomunikasi milik TM yang cuba dilarikan suspek, kad Touch N Go, telefon bimbit dan SUV jenis Proton X70 yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, pihak tidak menolak kemungkinan bahawa suspek mempunyai pengetahuan dalam memotong dan meleraikan kabel jenis tembaga yang cuba dilarikan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini