KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu butiran dua individu yang menceroboh Menara Merdeka 118 dari Biro Pusat Nasional (NCB) Moscow Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada pihak berkuasa berkenaan pada 5 Januari lalu.
“Setakat ini kita masih menunggu dan percaya kedua-dua individu kini sudah keluar dari negara ini.
“Sehingga kini, seramai 13 individu sudah dirakam percakapan, ia termasuk kakitangan bangunan terbabit dan pengawal keselamatan,” katanya ketika taklimat pada Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.
Mengulas berhubung beberapa video lain yang menyasarkan Menara Merdeka 118 sebagai lokasi untuk melakukan aktiviti ekstrim, Noor Dellhan berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan dengan pemilik lokasi terbabit.
“Polis akan melakukan perbincangan dan menilai apa tindakan seterusnya yang boleh diambil.
“Bukan sahaja di menara terbabit malah perbincangan juga akan dilakukan dengan pengurusan bangunan lain,” katanya.
Sebelum ini, warga Rusia, Angela Nikolau mendedahkan taktik licik dia menceroboh Menara Merdeka 118 sekali gus menyempurnakan misinya memanjat puncak menara seperti tular baru-baru ini.
Menerusi ciapan di Twitternya, Angela turut memuat naik gambar ketika ‘menjayakan’ misinya.
Turut tular video di laman sosial menunjukkan Angela dan seorang lelaki di puncak menara itu.
Polis menerima laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 pada 29 Disember lalu untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan terbabit. – HARIAN METRO