Tumpuan :
Jenayah

Polis lupus barang kes, mesin bitcoin RM1 juta

Barang rampasan kes yang dilupuskan melibatkan mesin bitcoin, botol arak, VCD cetak rompak dan batang rokok sempena pelupusan barang kes AM di IPD SHAH ALAM. -Foto : NSTP

SHAH ALAM : Polis Shah Alam melupuskan barang hasil kegiatan jenayah bernilai RM1 juta termasuk 550 mesin melombong bitcoin hari ini.

Kesemua barangan itu meliputi 33 kes yang berjaya diselesaikan antara 2019 hingga tahun lalu termasuk satu kes pada 2008.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pelupusan itu melibatkan kes bitcoin, arak, rokok seludup, cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak.

Katanya, semua kes itu diselesaikan selepas proses perbicaraan dan hukuman oleh mahkamah termasuk suspek terlibat.

“Selain 550 mesin bitcoin, barangan yang dirampas bagi pelupusan itu meliputi 500 botol arak, 690 tin arak, 280,000 batang rokok dan 2,000 VCD serta DVD cetak rompak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.

Jelas Mohd. Iqbal, pelupusan berskala besar itu adalah kali ketiga dilakukan pihaknya tahun ini dengan keseluruhannnya bernilai kira-kira RM2 juta.

“Tindakan itu dijalankan mengikut Pelupusan bagi Aset-aset Kerajaan dan Pelupusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Bagi mesin bitcoin, pelupusan dibuat dengan menghancurkannya secara manual manakala minuman keras dilupuskan melalui pemeruapan dan rokok akan dibakar dalam kebuk pembakaran,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi pelupusan dadah, ia akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kerana ia melibatkan proses tertentu.

Orang ramai juga diseru supaya menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil pihaknya.

Loading...
Terkini