comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Polis KL lupus dadah bernilai lebih RM36 juta

Datuk Rusdi Mohd Isa pada sidang media pelupusan barang kes dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Kontinjen Kuala Lumpur melupuskan pelbagai barang kes dadah seberat 474,711 gram dan 982,287 militer cecair sejak 2003.

Semua barang rampasan kes narkotik selama 20 tahun sehingga 2023 lalu itu dianggarkan bernilai lebih RM36.43 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pelupusan barang kes dadah itu membabitkan sejumlah 2,844 kertas siasatan yang sudah selesai perbicaraan di mahkamah.

“Dadah yang dilupuskan ialah methamphetamine seberat 285,530 gram, methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (70,244 gram), heroin (8,815 gram), kanabis (8,671 gram) dan air ketum (189,667 mililiter).

“Kita turut melupuskan bahan memproses dadah iaitu pepejal 1,914 gram serta cecair 786,320 mililiter,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

FOTO: NSTP

Rusdi berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur menggunakan khidmat dan kepakaran Anak Syarikat Kumpulan Cenviro Kualiti Alam Sdn Bhd yang dipertanggungjawab melupuskan barang kes berkenaan.

“Ia berdasarkan kewibawaan dan pengalaman mereka di dalam industri pengurusan sisa, selain mempunyai peralatan dan kepakaran.

“Pelupusan barang kes akan dijalankan di Pusat Rawatan Sisa Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, selaras dengan usaha membanteras aktiviti pengedaran, pemprosesan dan penyalahgunaan dadah, Polis KL mengalu-alukan sebarang maklumat orang ramai jika mengetahui mengenai kegiatan berkenaan di persekitaran mereka.

“Orang ramai boleh menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman ditalian 012-20872222 atau Rakan Cops Polis KL ditalian 03-21159999.

“Segala maklumat dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini